Anak murid terbiar, guru pula sudah tidak berminat mengajar….

Share Now

Anak murid terbiar, guru pula sudah tidak berminat mengajar....

Anak murid terbiar, guru pula sudah tidak berminat mengajar….Isu beban guru berlebihan sememangnya berlaku dalam sistem pendidikan negara sehingga mengakibatkan ramai guru tertekan dan tidak ada motivasi dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

Demikian kenyataan, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mengenai kesan jangka pendek beban tugas guru berlebihan yang menyebabkan ramai guru memilih untuk bersara lebih awal.

“Setakat ini kita tidak ada satu pun tindakan yang kita anggap meyakinkan bahawa tugas beban guru akan berkurangan, apa yang kita lihat beban tugas seorang guru semakin meningkat dengan adanya program-program tambahan sekolah.

“Tugas pengajaran tu berat, kerana guru perlu merancang, persiapan masuk ke kelas dari segi kehadiran pelajar, semak tugas pelajar, dan apatah lagi dengan adanya Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan pentaksiran dalam bilik darjah.

“Dalam PT3 ia menuntut pelibatan guru lebih banyak di bilik darjah, kita lihat apa yang sedang berlaku sekarang ini bukanlah usaha kurangkan beban guru tapi realitinya beban tugas guru semakin bertambah,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau berkata, isu beban guru ini membimbangkan kerana apabila guru-guru berada dalam tekanan, mereka tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajaran, dan menyebabkan kerugian besar buat pelajar.

“Anak-anak kita akan terbiar daripada pembelajaran mereka disebabkan ketiadaan guru di kelas dan fokus guru tiada untuk mengajar.

“Isu beban tugas guru bukan sahaja berlaku di tempat-tempat tertentu tetapi berlaku di seluruh negara, dan kita tidak boleh selesaikan hanya di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Peringkat Negeri, tetapi ia perlu diselesaikan di peringkat pusat, kita kena ada satu kenyataan yang tegas dari yang amat Menteri dan pihak KPM untuk meringankan beban guru.

“Kalau kita lihat ramai guru yang mengajar sekarang mereka tiada pilihan, mereka tidak seronok mengajar kerana tertekan, jadi apa kesan kepada anak-anak kita yang akan mendapat guru yang tidak ada keinginan tinggi untuk mengajar?

“Kerana itu kita kena pulihkan kembali sistem pendidikan negara dengan memberi fokus tugas guru yang sebenar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anuar juga turut mengulas berkenaan tugas guru dan peranan jabatan-jabatan berkenaan pendidikan pelajar di sekolah seperti kokurikulum.

“Peranan sekolah dan guru hanya cungkil bakat dalam bidang sukan dan lain-lain, contohnya guru cungkil bakat di peringkat daerah, itu tugas guru tetapi kalau satu tahap sampai ke wakil negeri dan negara itu bukan tugas sekolah itu tugas jabatan sukan daerah, pejabat kesenian negeri, jabatan kebudayaan itu peranan yang mereka harus ambil.

“Tapi kita lihat sekarang ini cikgu yang sama cungkil bakat dan hantar pelajar dan melatih pelajar ke peringkat seterusnya jadi apa yang berlaku ramai guru-guru terlibat aktiviti kesenian dan kokurikulum mereka terpaksa tinggalkan sekolah oleh kerana nak kembangkan dua tiga bakat satu kelas tertinggal pembelajarannya.

“Ia tidak seharusnya berlaku, sepatutnya tugas guru hanya cungkil bakat namun sekiranya dapat ke peringkat seterusnya, pihak PPD dan pihak lain berkenaan perlu mengambil alih bagi menguruskan,” katanya.

Pada 5 Januari 2005, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan telah memaklumkan akan mencari formula bagi mengurangkan beban tugas guru dan pada 2019, Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pendidikan yang ditubuhkan oleh Dr. Mazlee Malik juga telah meneliti isu beban tugas guru.

Jawatankuasa ini berjaya menghasilkan sebu­ah laporan komprehensif de­ngan beberapa cadangan pe­nyelesaian berkaitan isu beban tugas guru. Malangnya tidak dapat dilaksanakan apabila ke­pimpinan Kementerian Pen­didikan (KPM) bertukar tangan.

Seterusnya pada 2022, KPM melaksanakan kajian berkaitan beban tugas guru sehingga ramai guru bersara awal. Sehingga kini, hasil kajian ini masih belum dibentangkan.-The Merdeka Times.

 

Baca: “Sanggup Jual buah pinggang untuk beli Iphone 14?” Ini respon Doktor

Selepas 4 tahun, wanita ini baru sedar buah pinggang dia hilang dijual suami

Tahanan mati mengejut dalam lokap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *