SHAH ALAM – Pakar-pakar ekonomi berpandangan kenaikan kadar faedah bank atau Kadar Dasar Semalaman (OPR) di negara ini memberi gambaran bahawa rakyat perlu berhemah dalam pengurusan kewangan masing-masing.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, pengurusan kewangan berhemah itu termasuklah hanya membeli barang yang perlu, tidak membuat pinjaman atau pembiayaan baharu dan tidak membeli barangan import.
Ini kerana katanya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini semua pihak perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak.
“Utamakan perbelanjaan berhemah ini maksudnya orang ramai hanya perlu membuat pembelian terhadap barang yang perlu. Tidak membeli barang berjenama atau mewah.
“Paling utama, dalam tempoh ini juga rakyat tidak membuat pinjaman atau menambah pembiayaan baharu atau dalam erti kata lain beli kereta yang mampu dibayar atau beli rumah untuk didiami bukan tujuan untuk pelaburan tambahan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Baharom berkata, rakyat juga perlu sedar bahawa OPR dinaikkan atau polisi penguncupan dibuat bagi mengawal kenaikan harga barang daripada terus melambung.
“Orang ni kadang-kadang dia silap mengatakan BNM menaikkan kadar faedah ini menyusahkan tetapi sebenarnya mereka menaikkan OPR itu demi untuk memperlahankan kenaikan harga barang atau memberhentikan kenaikan harga barang,” ujarnya.
Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol bahawa rakyat perlu berdisiplin dalam berbelanja serta menguruskan kewangan ketika ini. – Sinar Harian
Video bermain dengan anjing, netizen kata Baby Shima sengaja cetus kontroversi