Memalukan ! Kaum Melayu paling ramai pengamal seks songsang. Suatu hal membimbangkan apabila trend hari ini menerusi statistik Kementerian Kesihatan Sektor HIV/Penyakit Jangkitan Kelamin (STI), Bahagian Kawalan Penyakit pada 2017 menunjukkan 1,697 individu yang mengamalkan seks songsang seperti homoseksual dan biseksual ialah penghidap HIV baharu.
Mengikut pecahan kaum, 54 peratus mewakili 1,800 individu daripada 3,347 jumlah keseluruhan kes baharu penghidap HIV merupakan orang Melayu. Jumlah itu lebih dua kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina iaitu sebanyak 725 dan lebih besar berbanding kaum India iaitu hanya 240 kes baharu.
Di samping itu, bagi pecahan jantina pula, lelaki Melayu mencatatkan seramai 1,600 kes baharu dijangkiti HIV manakala perempuan pula sebanyak 200 kes dengan perbandingan sebanyak 2,890 bagi keseluruhan lelaki dan 457 perempuan seluruh negara.
Dianggarkan jumlah sebenar penghidap HIV dan AIDS di Malaysia adalah jauh lebih besar daripada angka direkodkan kerana masih ramai pesakit malu untuk tampil mendapatkan rawatan berikutan persepsi negatif masyarakat. Jumlah kematian AIDS sejak tahun 1986 hingga 2018 direkodkan sebanyak 43,843 kes.
Pada Mei lalu, Ketua Sektor HIV/AIDS dan Hepatitis C Kementerian Kesihatan Dr Anita Suleiman mengatakan punca dan corak jangkitan HIV/AIDS didapati telah berubah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila amalan seks tidak selamat menjadi faktor utama penularan berbanding penggunaan jarum suntikan yang hanya mewakili tiga peratus dan dua peratus lagi adalah jangkitan daripada ibu kepada anak.
Menurutnya, boleh dikatakan 95 peratus kes yang dikesan setiap tahun berpunca daripada amalan seks tidak selamat terutama dalam kalangan golongan homoseksual.
Sebanyak 60 peratus penghidap HIV/AIDS pula terdiri daripada golongan muda berusia antara 29 hingga 39 tahun sementara bagi jangkitan HIV disebabkan hubungan seks lelaki dengan lelaki (homoseksual/MSM) adalah berumur di antara 20 hingga 39 tahun.
Pada masa sama, Ketua Jururawat Kaunseling HIV/ AIDS, Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nik Mohd Irwan Nik Pa, menjelaskan bahawa hubungan seks sejenis dilakukan sesama lelaki terbahagi kepada insertif dan reseptif, yang mana cara reseptif berisiko tinggi mendapatkan jangkitan kerana lapisan dinding anus nipis memudahkan jangkitan virus HIV.
“Penyakit HIV atau ‘Human Immunodeficiency’ boleh dijangkiti melalui cecair dalam badan seperti darah, cecair rektal, susu ibu serta jangkitan melalui hubungan seks rambang atau seks songsang serta perkongsian jarum suntikan yang terkena jangkitan,” katanya.
Tambahnya, homoseksual ialah orientasi nafsu dalam hubungan tarikan personal, emosional, romantik, perasaan cinta dan sayang serta seks sejenis atau sesama gender.
Sementara itu, statistik Kementerian Kesihatan melaporkan golongan gay atau homoseksual direkodkan meningkat hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun 2018, berbanding 173,000 lima tahun lalu ketika itu.
Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof, berpandangan kebanyakan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bermula sejak mereka di sekolah berasrama, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 12 hingga 15 tahun kerana belum matang dan tak dapat membezakan jenis sentuhan ke atas mereka.
Menurutnya, dalam beberapa kes, mereka (kanak-kanak dan remaja lelaki) diliwat pelajar senior ketika berada di sekolah berasrama, sekali gus mengakibatkan wujudnya faktor ketagihan kepada seks sejenis dan bertukar menjadi seorang gay.
Manakala, satu kajian daripada Institusi Penyelidikan Pembangunan Malaysia, didapati terdapat dua pengaruh menyebabkan golongan belia di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur terlibat dalam gejala gay iaitu pengaruh dalaman dan pengaruh luaran.
Pengaruh dalaman meliputi aspek naluri menyukai lelaki, pengaruh masa lampau, kurang penghayatan agama dan mempunyai fahaman atau pemikiran yang terbuka terhadap gay.
Sementara, pengaruh luaran meliputi pengaruh ruang dan peluang, pengaruh internet, pengaruh persekitaran keluarga yang feminin serta pengaruh rakan sebaya.
Kewujudan aplikasi gay yang boleh dimuat turun melalui perisian Google Play Store seperti ‘Hornet’, dan ‘Grindr’ yang diwujudkan khas bagi golongan gay turut memburukkan lagi keadaan.
Seiring itu, dapat kita lihat juga golongan ini kini semakin berani dan secara terbuka mendesak semua pihak menghormati hak mereka untuk bebas mengamalkan tabiat buruk, termasuklah keinginan seksual sejenis dan kecenderungan seksual di luar norma individu sihat.
Keinginan golongan ini secara langsung boleh mempromosikan tabiat songsang tersebut, sekali gus kes HIV juga mungkin akan terus meningkat dalam masyarakat yang didorong oleh golongan berkenaan.
Ia merujuk kepada laporan bersifat ramalan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjangkakan Men-sex-with-men (MSM) atau homoseksualiti diramalkan akan terus meningkat sebagai kumpulan utama dalam kes positif HIV menjelang tahun 2030.
Bagaimanapun, setakat hari ini masih tiada lagi penawar bagi HIV sekalipun pematuhan rawatan antiretroviral dapat mengawal virus terbabit seterusnya menghalang ia dijangkiti melalui hubungan seksual namun bukankah lebih wajar andai permasalahan ini ditangani dari akarnya. – The Merdeka Times
Baca: Selepas 4 tahun, wanita ini baru sedar buah pinggang dia hilang dijual suami
Perkara yang bakal berlaku selepas Ratu Elizabeth II meninggal ini akan mengubah sejarah Dunia