Merpati kembali pulang ke sarang. Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) menjelaskan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak yang sedang mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut kini dalam keadaan baik dan telah diberikan perlepasan perubatan bagi membenarkannya dihantar semula ke Penjara Kajang.
“Adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.
“Hasil pemeriksaan terkini yang telah dilakukan terhadap beliau oleh pakar perubatan rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.
“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh jurupulih perubatan fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri,” kata pusat itu dalam satu kenyataan, hari ini.
HRC juga memaklumkan bahawa pakar perunding yang berkaitan telah mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarganya, dan mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan bekas perdana menteri itu.
“Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang,” kata pusat itu.
Minggu ini, susulan dakwaan Najib diberi layanan istimewa semasa menjalanhi hukuman penjaranya, Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa dia telah dihantar ke HRC untuk rawatan.
Bagaimanapun pihak berkuasa tidak dapat mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatan Najib kerana protokol privasi pesakit.
Sebelum ini pelbagai pihak mendakwa bahawa sistem penjagaan kesihatan awam kini disalahgunakan untuk memberi bekas perdana menteri yang sepatutnya menjalani hukuman penjara layanan istimewa dan beberapa kemudahan lain.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.
Dia dikatakan sering keluar-masuk hospital sejak dihantar ke penjara akhir bulan lalu.
Dua minggu lalu, dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas alasan ulser perut – yang didakwa keluarganya disebabkan oleh tekanan.
Dia kemudiannya dibenarkan keluar, tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas mendakwa tidak sihat akibat masalah tekanan darah pula.
Susulan itu, timbul dakwaan tular yang mendakwa Najib – dengan nama kod Merpati – akan dihantar ke HRC supaya dia boleh mendapat lebih banyak keistimewaan lain, antara lain akses kepada pelawat.
Terdapat juga dakwaan bahawa sel Najib di penjara Kajang telah diubah suai.- Malaysiakini
Baca: Terkini ! Bob Lokman meninggal dunia
Aktiviti wang haram dan scammer umrah ‘Ustaz’ beristeri dua mengaku bersalah
Kerajaan ‘memperalatkan’ Kementerian Kesihatan supaya tempoh Najib di penjara jadi pendek ?