Pelik! Jiran tak pernah nampak kelibat Zalina Azman Kehilangan bekas pembaca berita sebuah televisyen swasta sejak lapan bulan lalu terus menjadi misteri apabila tiada sebarang petunjuk mengenainya sehingga kini.
Zalina Shaharah Azman, 57, yang terkenal sebagai pembaca berita program Money Matters dilaporkan hilang oleh anak lelakinya berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, wanita itu gagal dihubungi lima hari sebelum laporan dibuat selepas ahli keluarganya gagal menjejakinya.
Katanya, anak lelaki wanita bersama bapa saudaranya kemudian mencari di rumah personaliti tersebut di Seksyen 3 di sini.
“Mereka dapati kenderaan Zalina berada di tepi rumah dengan keadaan di dalam kediaman itu mendapati ia tidak tersusun.
“Ditemui beg duit milik Zalina yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kunci dan wang tunai RM600. Bagaimanapun Zalina tidak dijumpai,” katanya.
Jelas beliau, segala usaha mencari wanita berkenaan telah dijalankan, namun gagal menemuinya sehingga kini sebelum hebahan berkaitan kehilangan mangsa dibuat kepada umum bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622,” katanya.
Dalam pada itu, jiran personaliti berkenaan yang juga pemilik pusat tahfiz, Mohammad Bokhari Sharif, 76, berkata, dia tidak pernah bertegur sapa atau melihat kelibat Zalina walaupun pusat pengajiannya terletak bersebelahan dengan rumah mangsa.
Ujarnya, Zalina ada membuat kerja-kerja pengubahsuaian terhadap rumah tersebut pada tahun 2019.
“Kalau tak silap saya, kerja-kerja pengubahsuaian itu terbengkalai, beberapa bulan sebelum Zalina hilang,” jelasnya.
-Sumber : awani
Baca : Cuti Haid dan subsidi tuala wanita akan dibahas di Dewan Rakyat harini
Gadis selamba makan Meggi Panas dalam tren dan tak pakai mask terima kecaman netizen
Denda 10 ribu dan penjara jika suami gagal buat caruman Perkeso untuk isteri