Pulau Perhentian dah tak selamat? Kerajaan Terengganu sudah mengarahkan semua agensi terlibat segera menjalankan siasatan untuk mencari dan menilai punca sekumpulan pelancong jatuh sakit selepas bercuti di Pulau Perhentian, Besut baru-baru ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan Terengganu memandang serius isu itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan, dengan laporan penuh akan menyusul apabila siasatan lengkap.
“Memandangkan isu-isu sebegini boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini, kerajaan tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas, jika ada premis tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Selain itu, susulan daripada aduan sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) sedang menjalankan pelupusan enapcemar secara keseluruhan di Pulau Perhentian,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu sentiasa menjalankan program pengawasan kualiti air marin secara berkala di pulau itu dan keputusan pada Jun hingga bulan lalu menunjukkan kualiti air pada tahap terbaik.
“Kerajaan negeri sangat komited dalam menjaga keselesaan dan keselamatan pelancong yang datang bercuti di pulau-pulau peranginan di Terengganu.
“Hal-hal yang mendatangkan kesan tidak baik kepada pelancong dan pengunjung di negeri ini akan diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya demi memastikan kelangsungan sektor pelancongan negeri.”
Jumaat lalu, FMT melaporkan percutian tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil berakhir dengan mimpi ngeri bagi sekumpulan 40 pelancong yang jatuh sakit selepas berenang di perairan itu baru-baru ini.
Hasan Yahaya antara 27 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan enam kanak-kanak kecil yang menyertai percutian itu. Beliau memberitahu FMT, mereka semua mula mengalami mual dan muntah-muntah selepas percutian itu.
Katanya, sebahagian daripada kumpulan itu mengalami cirit-birit dan demam panas, sejurus selepas pulang dan beberapa orang dimasukkan ke hospital, manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak kecil mengalami keracunan darah.
Jun lalu, FMT melaporkan enam wanita mengalami keracunan makanan, walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort penginapan mereka disebabkan “kes keracunan makanan yang semakin meningkat”.- FMT
Baca: Arab Saudi semakin jauh dari Islam konservatif apabila melabur 142 bilion untuk perkara ini
Khairulaming dah jadi ‘berhala’ sembahan orang masa sekarang?