Top 5 UMNO bertemu petang ini. Parlimen dijangka bubar 12 Oktober?

Share Now

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menghadiri mesyuarat membabitkan lima pemimpin tertinggi (Top 5) UMNO di Menara Dato’ Onn, di ibu negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di akaun Facebook rasminya.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut memuat naik gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.

Media difahamkan, perjalanan beberapa mesyuarat sejak awal hari ini dimulakan dengan pertemuan lima pemimpin kanan parti tersebut, sebelum disusuli oleh mesyuarat Biro Politik UMNO, yang bermula kira-kira jam 3.50 petang tadi.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan mesyuarat sedang berlangsung.

Antara yang kelihatan dalam mesyuarat Biro Politik itu selain Presiden Parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ialah Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan, dua Naib Presiden iaitu Khalid dan Ismail Sabri, Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, dan Ketua-ketua Sayap parti.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada malam ini pula dijangka bermula 8.30 malam, yang akan turut dipengerusi Ahmad Zahid.

Sebelum ini Ismail Sabri menyebutkan beliau akan berbincang dengan lanjut tentang tarikh yang sesuai untuk Pilihan Raya Umum Ke-15, serta hasil perbincangan Jemaah Menteri mengenai isu yang sama pada 22 September lepas.

Sejak pagi tadi berlegar khabar angin yang menyatakan kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada 12 Oktober ini namun perkara ini belum disahkan oleh sesiapa lagi.

“Spekulasi saja tu. PM sahaja tahu bila dia nak bubar, dah tak lama dah. Mungkin esok, mungkin bulan depan, mungkin tahun depan..” kata seorang pemimpin kanan UMNO yang enggan dikenali.

Baca lagi: Netizen luah rasa kecewa dan tidak percaya Zahid Hamidi boleh bebas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *