Video lelaki ‘diculik’ ketika sedang makan di restoran disalah erti kes culik kanak-kanak

Share Now

 

“Sebelum kejadian (mangsa) telah pergi makan seorang diri ke sebuah restoran. Semasa di restoran berkenaan, sekumpulan suspek dipercayai lelaki tempatan telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta Vellfire putih.

“Mangsa menjerit meminta tolong dan cuba melepaskan diri namun tidak berjaya,” katanya, sambil menambah polis menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Namun polis hari ini mengesahkan kejadian seorang individu dilarikan dengan kenderaan Vellfire berwarna putih di Jalan Pandan Indah, Ampang semalam, yang tular di media sosial.

Video itu tular di tengah-tengah kes cubaan culik kanak-kanak di beberapa negeri menimbulkan kerisauan orang ramai.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak menjelaskan mangsa yang dilarikan kenderaan Vellfire putih dalam video tersebut adalah seorang lelaki berusia 38 tahun.

Mohamad Farouk berkata siasatan mendapati lelaki itu adalah ahli perniagaan dan kejadian dipercayai berpunca daripada hutang.

Terdahulu, rakaman video berdurasi lebih seminit menunjukkan Vellfire tersebut dikejar beberapa buah motosikal di tengah jalan raya yang agak sesak.

Seorang penunggang motosikal, dipercayai yang merakam video tersebut, berkata ada individu diculik di dalam kenderaan itu dan menyebut nombor pendaftarannya.

“Ada orang kena culik dalam (kenderaan) ni, (berlaku) depan mata,” katanya yang turut meminta pemandu lain membantu menghalang pergerakan kenderaan itu.

Lelaki itu bagaimanapun dilepaskan di Klang beberapa jam kemudian dan hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya pada kira-kira jam 10.45 malam hari yang sama untuk membuat laporan, menurut Mohamad Farouk.

“Mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, dia berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik atau melarikan orang dengan niat hendak menyebabkan orang itu dikurung dengan sulit dan dengan salah.

Polis telah mengenal pasti suspek dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan, katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *